Menyedari penghinaan yang dihadapi oleh Umat Islam di bumi sendiri hari ini;
Memahami kegawatan politik yang mengaibkan perpaduan ummah di semua penjuru;
Menerima realiti kita pengemis di tanah warisan sendiri;
Merasai kepedihan gejala sosial yang memamah masyarakat Islam di semua sudut di Negara sendiri;
Melihat satu persatu anak bangsa tumbang kecundang ditelan Agenda Musuh;
Menginsafi kegagalan agenda ekonomi yang melumpuhkan jatidiri anak bangsa;
Menghayati cabaran yang akan melumpuhkan masa depan kita semua;
Merasakan hanya sisa maruah yang tinggal;
Menelan hakikat ancaman
“Tuan Menjadi Hamba, Tetamu Menjadi Tuan”
Mengenang nasib nenek moyang,
para pejuang agama dan bangsa yang gugur dalam
perjuangan yang tidak terbela;
Menerima kebenaran luahan “Anak Kecil Main Api ” dan
“ Perjuangan Yang Belum Selesai ”
Ingatlah….
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa sehingga bangsa itu sendiri mengubahnya.
CUKUP, CUKUP, CUKUP
Samaada nasib kita hari ini adalah Agenda musuh atau kelemahan sendiri, kita perlu bangkit dengan segera. Kami PEWARIS, ingin menjemput wakil organisasi Islam, Melayu, pemikir, individu yang insaf , ketua masyarakat, pemimpin agama untuk berbincang dan mengambil tindakan segera demi mengembalikan hak dan maruah bersama dan menentukan kemakmuran Negara dapat diteruskan di satu perjumpaan terutup pada dan tempat yang akan diberitahu. Sila hubungi kami segera di 019-3591000.
5 comments:
KRISIS DI HADAPAN MATA, KITA DI JURANG BINASA,
JANGAN SILAP LANGKAH.
Tahun 2008 sudahpun sampai ke pertengahan. Namun, sepanjang tahun ini nampaknya seluruh dunia dihimpit pelbagai pancaroba. Baik dari segi alamiah mahupun ekonomi, politik dan juga kemanusiaan. Kesemua menjurus kepada bencana. Seperti tidak ada berita yang menggembirakan di tahun 2008 ini.
Tragedi yang menimpa negara Myanmar adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan. Apabila dilanda taufan Nargis, negara Myanmar mengalami kemusnahan yang fatal. Rakyat menjadi gelabah dan hilang punca akibat kerosakan seluruh harta benda dan kehilangan nyawa insan tersayang.
Insiden ini banyak meraih simpati dari masyarakat lain seluruh dunia. Malangnya, pemimpin utama Myanmar telah bertindak secara defensif. Mereka meletakkan kepentingan peribadi melebihi dari kesejahteraan rakyat. Akhirnya, akibat kemelut berkenaan bantuan yang sepatutnya diterima samaada lewat atau langsung tidak sampai.
Rakyat yang naif menjadi mangsa pada percaturan antara politik dan kepentingan peribadi. Adalah menyedihkan apabila banyak nyawa yang terus melayang kerana tidak mendapat bantuan dalam waktu yang kritikal. Walhal, mereka mungkin dapat diselamatkan sekiranya kepentingan peribadi dikesampingkan.
Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pemimpin secara terdesak dan gelabah tidak mungkin mendatangkan sebarang kebaikan secara menyeluruh. Lebih buruk lagi apabila pemimpin memilih keputusan yang salah dan rakyat pula yang menanggung akibatnya. Kerana itu; ketenangan, kewarasan, kematangan dan ketelitian amat diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat terutama yang bersifat reaktif dan spontan. Kerana keputusan yang terburu-buru dikhuatiri mendatangkan mudharat yang berpanjangan.
Negara kita juga nampaknya tidak terkecuali. Semenjak berakhirnya PRU 12 yang baru lalu, pemimpin negara telah dijangkiti sindrom gelabah terutama dalam menangani krisis dan isu-isu besar. Akibatnya, mereka menghasilkan tindakan-tindakan serta keputusan yang akhirnya dilihat sebagai kurang bijaksana.
Kita lihat sahaja isu-isu yang ditimbulkan seperti kununnya negara menghadapi krisis Ketuanan Melayu. Kepimpinan tertinggi negara sebuk menyuarakan bahawa ini berlaku kerana orang Melayu telah terhakis kepercayaan mereka kepada UMNO. Walhal kenyataan ini dibuat tanpa sebarang justifikasi yang mantap dan banyak dipengaruhi oleh unsur ’pandang-dengar’ semata-mata.
Kerana kepercayaan berkenaan, mereka menterjemahkannya kepada tindakan yang pelbagai sehingga kesemuanya menjadi caca marba. Ia benar-benar dilihat sebagai tindakan terdesak, tergesa-gesa dan tidak terancang.
Pada masa yang lain, ada pula suara yang memberikan pandangan bahawa golongan pemuda tidak lagi menaruh kepercayaan kepada UMNO dan kepimpinan yang ada sekarang. Walhal, tidak ada langsung fundamental yang dapat dijadikan alasan kukuh untuk menyokong kenyataan berkenaan selain dari keputusan PRU 12.
Apa yang menghairankan dan tidak boleh diterima logik ialah analogi yang digunakan secara berterusan adalah kekalahan BN di empat buah negeri di Semenanjung. Tidak ada sesiapa yang mampu mencari alasan lain atau sebarang petunjuk lain untuk dijadikan sebagai justifikasinya. Walhal, UMNO tidak pernah meneliti apakah atau siapakah sebenarnya yang kalah.
Untuk berlaku adil marilah kita lihat realiti sebenar, apakah yang berlaku dalam PRU 12. Dalam pilihan raya yang lepas, kita menyaksikan tumbangnya gergasi-gergasi politik seperti Dato’ Sri Sammy Velu (MIC), Datuk Dr. M. Kayveas (PPP), Tan Sri Dr. Koh Su Koon (Gerakan), dan Datuk Sri Ong Ka Teng (MCA). Kesemua nama-nama besar berkenaan adalah presiden parti komponen BN.
Jelas mereka semua kalah kerana gagal meraih sokongan dari penyokong terutama dari bangsa mereka sendiri. Perkara ini tidak berlaku kepada pemimpin-pemimpin kanan UMNO sendiri secara keseluruhan. Hanya sebahagian sahaja yang gugur manakala yang lain bukan sahaja menang, malah ada yang meraih majoriti yang meningkat.
Fakta ini dengan jelas menunjukkan bahawa bukan UMNO yang tidak diterima oleh rakyat atau bukanlah kepimpinan Melayu yang ditolak tetapi rakyat tidak lagi menerima kepimpinan parti komponen BN. Ia semudah mentafsir A, B, dan C sahaja sekiranya kita membuka minda tanpa sebarang pengaruh emosi gelabah dan ghaflah.
Amat malang, UMNO terpaksa menanggung liabiliti hasil kegagalan anggota lain parti komponen BN dan bukan sebaliknya. Itulah hakikat sebenar yang gagal ditafsirkan dengan betul oleh pucuk pimpinan sedia ada akibat gelabah tidak bertempat.
Rantaian dari salah tafsir, maka timbul pelbagai saranan sumbang sehingga ke tahap menukar pucuk pimpinan yang telah dilaungkan. Malahan PM sendiri turut ghaflah sehingga terpaksa akur menerima pelbagai spekulasi, memberikan aku janji, berkejar ke sana sini demi mengukuhkan kedudukan parti pemerintah yang kununnya semakin goyah.
Lebih malang lagi, apabila UMNO seolah-olah merasa berdosa akibat kekalahan parti komponen lain dan menerima bulat-bulat kununnya merekalah penyebabnya. Paling tragis apabila isu keris pemuda UMNO juga dijadikan antara alasan kekalahan parti-parti komponen berkenaan. Walhal, jika kita lihat keris berkenaan telah berkibar sekian lama pada bendera UMNO dan telah tersisip hampir pada kesemua lambang resmi negara dan pakaian penguatkuasa agensi kerajaan berdekad lamanya.
Herannya, sebelum ini tidak ada sesiapapun pernah mempertikaikan penggunaan lambang keris berkenaan. Malah orang Melayu juga tidak pernah mempertikaikan lambang singa, naga, pedang, kera, gajah, lembu, tombak bercabang dan sebagainya yang digunakan oleh bangsa lain di negara ini.
Oleh itu, apa sahaja tohmahan yang dijadikan sebagai alasan kepada kekalahan parti komponen BN berkenaan sebenarnya adalah berupa tindakan tersepit bagi menyembunyikan kelemahan sendiri. Cara yang mudah untuk menyembunyikan hakikat itu adalah dengan menuding jari kepada UMNO. Ia samalah seperti taktik Amerika apabila berhadapan dengan sebarang isu atau dalam kata lain ’wag the dog’.
UMNO rupanya dijadikan kambing hitam dalam menyembunyikan kelemahan parti komponen dan peliknya UMNO menerimanya dengan senang hati dan bersedia memenuhi pelbagai tuntutan yang tidak menasabah yang dikemukakan parti komponen berkenaan. Kununnya pula ini demi memulihkan keyakinan penyokong parti-parti berkenaan.
Walhal, sepatutnya mereka yang kalah tidak berhak mendapat ’reward’ jauh sekali untuk ’demand’. Tetapi inilah kenyataannya yang terjadi pada sekarang. Situasi berkenaan menyebabkan penganalisis politik, para intelek dan pemikir profesional sendiri kebingungan dan gagal memahami sindrom tersebut. Siapa sebenarnya menang dan siapa pulak yang kalah dan ditolak oleh penyokong.
Kemuncak dari kemelut berkenaan adalah mantan Perdana Menteri Malaysia dan beberapa tokoh veteran telah mengisytiharkan keluar dari UMNO. Peristiwa ini merupakan satu lagi tragedi besar dalam UMNO yang sebenarnya boleh dielakkan sekiranya golongan elit UMNO mempunyai kepimpinan yang prihatin.
Dari tinjauan yang dibuat sebenarnya keputusan PRU 12 berkenaan adalah manifestasi yang ditonjolkan oleh rakyat dengan amat bijaksana dan saksama. Bagi rakyat sebenarnya, UMNO lebih bijak menangani sebarang isu tanpa sebarang pilih kasih. Kerana itu, di mana mungkin parti berkenaan tetap dikekalkan kemenangannya bagi menjamin kesinambungan parti. Sebab majoriti rakyat tetap yakin UMNO memang mempunyai nilai murni paling ampuh yakni tradisi membela rakyat tanpa memilih bulu.
Ini amat berlainan sekali dengan lain-lain parti komponen. Mereka yang tetap mengamalkan dasar pilih kasih hatta sesama bangsa. Perkara ini amat jelas melalui amalan membezakan dan mengutamakan kasta, ’surname’, kumpulan keluarga, daerah asal dan sebagainya yang telah berakar umbi sekian lama. Malah usaha menjatuhkan, menyekat pengaruh sesama kumpulan terjadi secara berleluasa dan telah lama dipraktikkan di dalam kepimpinan parti-parti berkenaan.
Budaya ini juga telah lama bercambah menjadi akar tunjang di dalam organisasi dan perniagaan mereka sehingga bangsa bukan Melayu lebih merasa selamat, adil dan di berikan perhatian samarata dalam mana-mana organisasi yang diterajui oleh bangsa Melayu berbanding yang diterajui oleh bangsa mereka sendiri. Lantaran itu, mereka ditolak oleh penyokong yang terdiri dari bangsa mereka sendiri.
Walaupun ada seorang dua yang menang, tetapi apabila dikaji pola pengundi di kawasan berkenaan rupa-rupanya pengundi di kawasan berkenaan adalah daripada orang Melayu. Maknanya, kemenangan mereka juga dihasilkan oleh orang Melayu.
Inilah hakikat dan fakta yang tidak dilihat oleh UMNO sendiri. Akibatnya, mereka menyalahkan diri akibat kegagalan parti komponen dalam PRU 12 yang lalu. Walhal, sekiranya mereka bijak, inilah masanya memperkukuhkan semangat setiakawan dan membuktikan bahawa tanpa UMNO maka lain-lain parti komponen tidak mungkin dapat sokongan majoriti rakyat di negara ini.
Kemudian, rakyat menjadi bertambah musykil dengan cara BN meraikan kemenangan memperolehi mandat memerintah negara ini. Apabila dengan secara tergesa-gesa mengambil keputusan untuk menaikan harga minyak sehingga ke tahap RM2.70 yakni 41% lebih tinggi dari harga sebelumnya. Walhal, hanya sehari sebelumnya menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna telahpun memberikan jaminan bahawa harga minyak hanya akan dinilai semula untuk kenaikan pada bulan Ogos.
Seluruh negara menjadi gelabah. Ia disifatkan sebagai tindakan di luar jangka. Keputusan ini sudah tentu menghasilkan implikasi yang amat buruk untuk jangkapanjang. Baik dari perspektif ekonomi maupun politik. Sekarang, masyarakat umum mula menyimpul bahawa kerajaan mengamalkan BUDAYA BOHONG. Sudah tentu yang paling malu sekali adalah menteri bertanggung jawab yang semestinya hilang kepercayaan daripada pengguna.
Tentu selepas ini sebarang kenyataan beliau tidak lagi menerima kepercayaan masyarakat. Lihatlah kos besar yang perlu dibayar hasil dari tindakan tergesa-gesa, gopoh dan tidak berhemah berkenaan. Mudahlah musuh negara mempropaganda bahawa kita bukan ditadbir oleh barisan kabinet, sebaliknya hanya oleh satu tangan hantu disebalik tabir.
Ekoran dari tindakan tersebut telah mencetuskan reaksi yang pelbagai dari panik, marah, meluat dan geram sehingga kepada yang gembira kerana dapat mengambil kesempatan untuk menangguk di air keroh. Mereka yang malang tentunya masyarakat pengguna apabila para peniaga dan penyedia perkhidmatan mengambil langkah drastik melonjakkan harga produk dan perkhidmatan tanpa sedikitpun menunjukkan rasa hormat pada pemerintah.
Pada mereka, bapa borek anakpun rintiklah. Kerajaan cakap tidak serupa bikin kenapa pula kami perlu patuh kepada arahan orang yang kerjanya hanya berbohong kepada rakyat. Kami hanya mengikut jejak langkah kerajaan. Naikkan harga tanpa sebarang notis, atau kelulusan. Kepimpinan melalui teladan. Ini baru betul, jitu dan sempurna. Mangsanya tentulah masyarakat marhaen dan pengguna yang mempunyai pendapatan tidak seberapa.
Tanyakanlah sahaja kepada sesiapa sahaja dari seorang ahli korporat sehingga kepada pelajar sekolah tentu mereka mempunyai satu pendapat dan bersetuju bahawa kerajaan telah memulakan satu budaya baru yakni BUDAYA BOHONG. Ia amat menakutkan, menyeram dan sukar untuk dipercayai boleh berlaku pada negara kita ini.
Sekiranya paradigma ini berlanjutan dan diterima umum maka rasa hormat kepada kerajaan dan parti pemerintah tentunya semakin merosot. Apabila ia berlaku maka kestabilan negara dan politik semakin terhakis dan terancam. Ini tentunya sesuatu yang perlu diberikan perhatian serius dan khusus. Kerana selama ini kejayaan negara menjadi maju dan dihormati adalah hasil kestabilan politik yang mewujudkan kekukuhan pelantar pelaburan.
Perkara ini sebenarnya lebih penting daripada memperkatakan mengenai ketuanan Melayu, hakisan sokongan Melayu, orang muda tidak menyokong UMNO dan yang seumpamanya. Ataupun, ia masih boleh ditangguh ke lain masa disebabkan pilihanraya telah berlalu dan hanya akan datang sekali lagi dalam tempoh 5 tahun lagi. Tetapi apa yang kita lupa adalah masalah yang lebih besar sedang menanti di hadapan kita dan kita masih belum sedar dan bersedia menghadapinya.
Kerana itu langkah-langkah drastik perlu dilaksanakan bagi mempastikan kecelaruan ini tidak akan berterusan. Ia mesti dilakukan dengan cara yang sistematik dan bersungguh-sungguh bukannya bersifat reaktif lagi. Semuanya perlu dirangkumkan dengan berhemah dan ditangani dengan penuh ikhlas tanpa sebarang prejudis.
Tentu banyak pihak menyatakan bahawa kerajaan telah melakukan pelbagai perancangan, kajian dan langkah-langkah bagi menangani masalah berkaitan. Tapi, siapakah sebenarnya yang terlibat dalam merangkakan langkah-langkah berkenaan. Dapatkah pula mereka memahami sebenarnya permasalahan itu secara terperinci kerana latarbelakang dan budaya yang berbeza.
Di sinilah duduk perkara yang perlu ditangani dengan bijak. Kerana kebanyakkan pakar sebenar masih berada di luar ruang lingkup lingkungan pemikir pada masa kini. Walhal, kebanyakkan mereka sebelum ini telah begitu banyak menabur bakti kepada pembangunan negara. Malangnya mereka tidak diberi kesempatan untuk menyumbang kerana terlindung atau tersirna dengan momokan sesetengah elitis atasan yang mempunyai kepentingan.
Di masa yang sama, wujud pula satu golongan yang telah ketinggalan jauh kerana masih menggunakan topi lama dalam berfikir masih digunakan. Tetapi hasil keakraban dengan pemimpin kanan atau pegawai atasan kerajaan mereka masih tetap digunakan sebagai pakar rujuk. Kerana itu, keputusan yang dihasilkan juga adalah menurut perspektif yang sudah tidak lagi relevan.
Antara semua yang disebutkan di atas, wujud pula pertembungan. Maka hasilnya berlakulah krisis demi krisis. Baik dari segi kepimpinan, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Menambah parah lagi keadaan di atas adalah apabila berlakunya gejala sampingan seperti kenaikan kadar jenayah terutama yang melibatkan nyawa dan harta benda.
Walaupun dinafikan berkali-kali oleh pihak berkuasa, tetapi rakyat tidak buta dan media sentiasa mendedahkannya tanpa henti-henti. Ia bukan sekedar statistik semata-mata tetapi hakikat dan perasaan tidak selamat semakin mencengkam. Jenayah berlaku di merata-rata tanpa mengira mangsa, lokasi dan masa. Setiap hari, apabila membuka akhbar dan menonton media elektronik kita sentiasa disajikan dengan pelbagai jenis jenayah yang melanda negara.
Rakyat semakin terhimpit antara inflasi yang meningkat, pendapatan yang menurun dan pelbagai bebanan psikologi hasil dari ketidak tentuan masa hadapan. Sekiranya dahulu, rakyat negara ini tidak perlu bersaing untuk mendapatkan peluang kerja, tetapi kini pasaran kerja tempatan telah dilambakkan dengan tenaga kerja asing dari pelbagai negara.
Peluang berniaga juga turut dirampas oleh peniaga asing ini yang mengamalkan budaya keras kepala dan tidak mematuhi prosedur. Keberanian mereka melanggar peraturan tentulah menewaskan rakyat kita yang telah terdidik untuk mematuhinya.
Dengan itu, semua premis perniagaan, peluang perniagaan, ruang niaga dan lokasi berniaga habis diceroboh tanpa sebarang sekatan. Golongan ini pula tidak takut kepada pihak berkuasa kerana samaada mereka boleh disogok, tidak mempunyai kuasa penuh atau selalu terlepas pandang. Akhirnya yang menjadi mangsa tentulah peniaga tempatan juga.
Sebelum ini, apa sahaja yang berlaku dalam negara tidaklah mendatangkan impak yang besar dan meninggalkan kesan mendalam. Tetapi, apabila harga bahanapi dinaikkan sehingga tahap kini maka kesan domino berlaku hampir serta merta. Inilah yang membuatkan seluruh rakyat di negara ini sudah menjadi semakin terhimpit.
Orang yang kenyang selalunya tidak memperdulikan keadaan sekeliling, tetapi orang yang lapar boleh bertindak di luar dugaan. Inilah yang sedang kita khuatiri takut berlaku bencana di negara tercinta ini. Apa yang di dengar disekeliling, apa yang dibicarakan menjadi topik utama hanyalah satu iaitu rakyat sudah hilang sabar.
Sekiranya tarif letrik dinaikkan, tentunya air dan telefon pun akan mengikutinya. Entah apa lagi yang akan naik sehingga ia menjadi mimpi ngeri yang tidak mahu berakhir. Perkara sebegini bukan lagi hanya mengganggu orang biasa tapi bakal menggugat kepimpinan negara masa kini sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.
Dengan kekangan pendapatan yang terhad, peluang menambah pendapatan yang tertutup apakah lagi pilihan yang rakyat kita ada. Oleh itu, para pemimpin kerajaan perlu mengambil sikap pro aktif dan menggunakan topi pengguna dalam menangani krisis masa kini.
Adalah lebih bijak sekiranya langkah menangguhkan semua projek mega yang tidak mendesak keperluannya untuk sementara waktu. Perbelanjaan mewah bagi majlis-majlis keraian, penganjuran ekspo, penganjuran sukan, pembinaan bangunan, jalan raya, pejabat dan apa sahaja yang tidak mendatangkan pulangan segera perlu dihentikan serta merta. Ini termasuklah perlaksanaan koridor pembangunan ekonomi di pelbagai wilayah.
Kesejahteraan rakyat, keperluan asas pada kehidupan mereka adalah lebih penting dari segalanya. Sekiranya krisis ini boleh dihadapi, nescaya masa hadapan negara akan lebih cerah, cemerlang, gemilang dan terbilang tanpa sebarang was-was. Perkara sebaliknya boleh berlaku sekiranya ia tidak diberi perhatian serius atau di anggap enteng malah lebih malang lagi sekiranya semua masalah ini disapu dan di simpan di bawah tikar.
Walau dalam apa keadaan sekalipun, kita semua patut sedar bahawa tanpa rakyat tidak akan ada kerajaan. Kerana itu, pemegang kuasa, amanah, serta kepimpinan kena meningkatkan tahap muhasabah diri supaya kita tidak terjerumus ke dalam lembah kehancuran yang sudah jelas terbentang di hadapan mata.
Terpulanglah kepada kita semua untuk mencorakkan masa hadapan negara ini samada akan menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang atau kecundang, tunggang langgang atau terjerumus kejurang. Kita tidak perlukan sebarang kata-kata retorik, palitan manis bahasa atau janji yang tidak mampu dikota. Yang penting, buktikan melalui tindakan yang mantap, betul dan berorientasikan fakta.
Masa bercakap dan berjanji telah tamat. Sekarang adalah masa untuk mengota kata-kata. Manusia tidak di ingati kerana kata-kata dan omong kosong tetapi jasanya yang boleh dibuktikan memberikan menafaat kepada semua. Bukan untuk segolongan, bukan untuk segelintir dan bukan untuk segolongan sahaja.
TERIMA KASIH MAJLIS PEGUAM
Walaupun program forum memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam ditamatkan 3 jam lebih awal dari jadual tetapi jelas tergambar rasa puas hati Presidennya kerana berjaya menunjukkan keangkuhan peringkat tertinggi kepada semua orang Islam dan Melayu.
Malahan, beliau sedikitpun tidak menunjukkan sebarang rasa kesal menganjurkan forum berkenaan dan tidak juga merasa bersalah melihat rasa marah yang membuak-buak yang ditunjukkan oleh umat Islam termasuk para pemimpin Negara. Tiada sebarang perkataan maaf atau sebarang rasa kesal terpancar di wajah beliau, malah secara berterangan menyatakan hajat beliau untuk menganjurkan forum yang sama di masa hadapan. Agaknya, mungkin tajuk yang akan dipilih adalah mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu pula.
Lebih menyedihkan akibat tindakan ego beliau ini seorang ahli politik kanan berbangsa Melayu dan beragama Islam nyaris menjadi mangsa. Rumah yang pernah di diami keluarga presiden Majlis Peguam itu telah dilempar bom buatan sendiri. Malangnya, ia kini di diami oleh ahli politik berkenaan. Beliau telah menjadi mangsa keadaan akibat tindakan presiden Majlis Peguam tersebut.
Lihatlah, betapa tinggi ego manusia seorang ini kerana tidak terkeluar barang sekelumit rasa kesal dari mulut beliau baik terhadap para demonstrator ataupun kepada keluarga ahli politik berkenaan yang nyaris menjadi mangsa tragedi akibat tindakan yang dicetuskan oleh beliau.
Apa yang sebenarnya cuba dibukti atau diperjuangkan oleh wanita ini yang tidak pula merasa malu menggunakan anugerah Dato’ yang dikurniakan oleh Raja Melayu beragama Islam. Apakah beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai Kashmir kedua? Ataupun memang beliau mendapat aspirasi dari kejadian di Kashmir yang ingin pula diluaskan ke Negara ini?
Sedang kita berhempas pulas memperbaiki keadaan ekonomi, sosial dan keutuhan Negara manusia seorang ini pula sebuk dengan agenda menghuru harakannya. Para pemimpin kanan Negara telahpun memberi amaran tapi nampaknya hanya di anggap remeh dan enteng kerana mungkin merasa beliau telah kebal dilindungi benteng Majlis Peguam yang diterajui beliau.
Hakikat jelas yang cuba diwarnakan melalui forum itu amat mudah untuk ditafsir. Tindakan membawa mereka yang kununnya menjadi mangsa ketidak adilan mahkamah syariah menceritakan masalah peribadi dan hal ehwal penderitaan masing-masing seolah-olah sengaja memperkecilkan keadilan dalam hukum Islam.
Walhal, perkara berkenaan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama. Ketidak adilan individu bukan disebabkan oleh agamanya. Kalau benar agama yang dianuti oleh Presiden Majlis Peguam itu terlebih baiknya dari Islam, tentulah tidak wujud masalah yang serupa dalam kelompok mereka. Walhal keadaan adalah sebaliknya. Tetapi kenapakah perkara ini yang beliau ketengahkan? Seolah-olahnya, hanya kes di mahkamah syariah sahaja menjadi penyebab masalah berkenaan.
Dengan menggunakan pendekatan di atas, apakah yang diharapkan boleh dihasilkan melalui forum berkenaan? Secara mudah, kita sudah boleh mengagak apakah yang akan diperolehi sebagai rumusan forum tersebut tanpa sebarang keraguan lagi.
Mungkin agaknya beliau tidak pernah membaca sejarah Tanah Melayu, tetapi hanya membaca sejarah Malaysia mulai tahun 1957 sahaja. Walhal, sebelum ini tidakkah beliau maklum nama Negara ini adalah Persekutuan Tanah Melayu. Hasil pengorbanan bangsa yang sedang beliau kutuk dan cuba perkecilkan inilah yang menyebabkan orang seperti beliau boleh lahir dan hidup makmur malahan lebih mewah dan kaya dari pribumi sendiri.
Bayangkanlah, kalau kiranya beliau itu kekal di Negara asalnya ataupun pribumi Negara ini tidak mahu menerima mereka menjadi warga Negara, bolehkah beliau menikmati apa yang sedang beliau kecapi hari ini. Mampukah beliau berdiri memperlekeh kembali bangsa Melayu beragama Islam yang kononnya tidak bersikap adil.
Keadilan jenis apakah lagi sebenarnya yang beliau mahu perjuangkan. Apakah keadilan begini mampu diperolehi dari mana-mana Negara lain di dunia ini. Memang manusia seorang ini sudah lupa daratan dan boleh diumpakan seperti kacang lupakan kulit.
Cara mudah untuk mengajar golongan yang kononnya terpelajar ini adalah membatalkan kewarganegaraan mereka kerana sikap mereka yang tidak menggambarkan mereka itu adalah sebahagian daripada rakan kongsi kepada kemakmuran negara. Kerana untuk menjadi warga negara mereka perlu patuh kepada Rukun Negara. Perbuatan mereka ini secara jelas telah mencabar kesemuanya sekali.
Kita sebenarnya tidak memerlukan segelintir manusia yang merasakan mereka terlebih pandai dan terlebih cerdik daripada orang lain. Mereka sebenarnya bukan ’aset’ kepada negara ini tetapi lebih merupakan ’liabiliti’. Kerana manusia seperti mereka akan berupaya mencetuskan huru hara dan kekacauan yang akhirnya membinasakan negara yang Malaysia yang baru di bina hasil dari pengorbanan manusia Melayu itu.
Pada kesempatan ini, kita juga perlu melihat akar kepada kemunculan anasir seperti kumpulan di atas supaya ia dapat dibendung dari awal. Mungkin pihak berwajib terleka menekankan subjek sejarah kerana hanya dengan subjek berkenaan rakyat negara ini akan memahami duduk perkara yang disebut sebagai kontrak sosial, ketuanan Melayu dan sebagainya.
Oleh itu, subjek ini perlu diberikan perhatian dan di ajar semenjak di sekolah rendah lagi termasuk sekolah antarabangsa yang terdapat di negara ini. Malah, ia juga perlu menjadi foundation bagi semua pelajar universiti dan penjawat awam agar semua memahami fungsi dan peranan setiap anggota masyarakat tanpa sebarang prejudis.
Kita mungkin sudah terlupa perkara asas kerana terlalu menitik beratkan subjek kritikal termasuk sains, bahasa inggeris dan matematik dan natijah dari kelalaian itu maka lahirlah manusia yang cerdik, terpelajar tetapi buta tamaddun negara. Apabila mereka menerajui mana-mana organisasi hasilnya adalah apa yang sedang kita lihat berlaku pada hari ini.
Walaupun sudah terlambat, tetapi ia masih boleh diperbaiki. Kejadian di atas hanya sekelumit kecil dari apa yang sebenarnya lebih besar sedang menunggu kita di hadapan. Tanpa persediaan dan sikap tegas penguasa undang-undang, kita akan segera terjerumus dalam kancah huru hara dan akan merudum jatuh tanpa mampu bangun lagi.
Alhamdulillah atas kelahiran Pewaris,satu badan yang saya fikir boleh menyatukan semua masyarakat Islam di negara ini tanpa mengira bangsa,darjat dan fahaman politik.Saya amat berharap agar misi dan visi yang akan dan bakal dilaksanakan akan mengikut Al Quran dan Sunnah Rasullulah dan bukannya hanya untuk memperjuangkan cita-cita individu atau pun satu-satu kumpulan tetapi menyeluruh tanpa mengira bangsa kerana Allah tidak membezakan hambanya dari segi bangsa maupun darjat tetapi dari segi keimanan dan ketakwaan satu-satu hambanya.Saya sebagai warga Malaysia yang berketurunan Kadazan amat berharap agar saudara seIslam kita dapat sama-sama berjuang memperbetulkan apa yang menjadi Hak kita di Bumi BerTuah Malaysia agar Maruah kita tidak tergadai dan anak cucu tak merempat di Bumi sendiri seperti apa yang boleh kita perhatikan sekarang.Belajarlah sejarah ajar kita tahu jati diri kita.Bersatu hati dan lenyapkan PHD (Perangai Hasad Dengki ),pentingkan diri sendiri dan amalan mengampu yang boleh merosakkan masyarakat itu sendiri.Akhir kata saya amat berharap agar Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak di pinggirkan dalam Wawasan Pewaris.Sekian,Wassallam.
Saya ada terdengar dalam radio IKIM pada tahun lepas,di mana kajian saintis Barat mengatakan genetik Melayu adalah genetik terbaik di dunia kerana di katakan semua genetik bangsa ada di dalam genetik Melayu.Saya tidak pasti kebenarannya tetapi kalaulah ini benar,ia merupakan satu berita yang positif kepada bangsa Melayu untuk terus maju dan menjadi satu bangsa yang paling di hormati di dunia ini.
PEWARIS........
Aku tak percaya pada parti lagi...UMNO banyak auta...pas tak berapa kuat. Aku tak banyak pilihan, sebab aku melayu. Camna aku harus jadi Melayu Islam yang baik, yang akan tinggalkan warisan yang baik untuk cucu cicit aku, orang kampung aku, orang negeri aku dan bangsa aku tanpa ditipu atau dibogelkan oleh orang politik?
Navy pencen
Post a Comment